Saturday, October 20, 2012

HAKIKAT LELAKI DAN PEREMPUAN MODEN

Share
Isu ini bukan isu popular untuk di'like' oleh muda mudi. Bukan isu perkahwinan main-main, bukan isu pakwe makwe atau isu putus cinta. Ini isu yang saya tuliskan kerana bosan dengan sikap sesetengah orang kita.. Mungkin ada antara anda yang sinis berpandangan, orang muda yang belum berkahwin tak selayaknya bercakap soal rumahtangga, keibu bapaan dan sebagainya. Maka saya tidak menuntut anda terus membaca. Butang 'X' ada dipenjuru kanan. Sila klik.

Saya mulakan dengan golongan muda mudi. Kerana saya rasa penentu kehidupan masa depan bermula pada usia muda, bukan pada usia kanak-kanak. Zaman kanak-kanak tak pernah faham erti kekayaan, kesusahan, dosa, pahala, rintangan, persefahaman, cinta dan sebagainya. Cuma pada usia muda remaja baru kita mengorak langkah untuk berfikir. Dan tindakan-tindakan di usia muda ini yang menentukan corak hidup kita pada masa depan, atau sekurang-kurangnya untuk satu jangka masa panjang.

Apa yang golongan muda cari? Pada satu sudut yang besar peratusannya, golongan muda cenderung kepada keduniaan. Kerjaya hebat, duit berkepuk-kepuk, style, gaya, rupa dan kepuasan. Dan besar juga peratusan muda mudi yang sebenarnya masih belum faham kenapa mereka hidup. Kehidupan sehari-hari sekadar mengulang perkara yang sama. Bangun, kerja, makan, balik kerja, tidur. Sesetengahnya ditambah dengan aktiviti santai atau sekadar membuang masa melepas lelah. Di mana cacatnya kehidupan seperti ini? Nampak normal?

Apa yang cacatnya ialah, mereka jarang sekali punya masa untuk Tuhan. Ya, mungkin mereka cukup dengan solat 5 waktu. Tetapi menjadi persoalan apakah solat itu budaya atau suruhan agama? Ramai antara kita melakukan solat 5 waktu sekadar kerana menjadi kebiasaan. Sejauh mana kita menghayati solat dan doa kita? Sejauh mana ketika berdoa, kita memahami doa kita... Sejauh mana kita melafaz surah, dan kita memahami maknanya.. Atau sekadar membaca surah hafalan tetapi tidak pernah tahu apa isi kandungannya atau sekurang-kurangnya cuba untuk tahu. Jika kita tidak pernah ambil tahu segala perlakuan kita dalam solat, sebenarnya kita solat kerana budaya! Budaya tercipta kerana kebiasaan, bukan bermotifkan sesuatu.

Jika anda menghayati solat dan doa, maka Alhamdulillah. Anda faham atau sekurang-kurangnya cuba untuk faham. Sekarang fikirkan pula motif kehidupan memandangkan solat anda terjaga baik, insyaAllah. Berapa ramai antara kita yang sentiasa menanamkan niat berbuat sesuatu kerana Allah.. Seberapa ramai antara kita yang sebelum keluar berkerja atau belajar, dimulakan dengan niat kerana Allah? NIAT bermakna tertanam di dalam hati bahawa perbuatan kita itu kerana Allah. Maka sekiranya diniatkan perbuatan itu kerana Allah, maka tidak mungkin adanya unsur-unsur yang mungkar di dalamnya. Oleh kerana jarang sekali kita berniat kerana Allah, maka kita lihat dalam kehidupan hari ini, manusia berselerakan tidak kenal motif kehidupan sendiri.

Persoalan-persoalan dalam dua perenggan di atas sebenarnya asas kepada corak kehidupan muda mudi masa ini. Saya berpendapat, manusia tidak akan menjaga mana-mana perkara lain sebelum kita menjaga solat dan hubungan dengan Tuhan. Kita sendiri jarang memahami konsep 'SOLAT TIANG AGAMA' padahal konsepnya mudah. Apabila dikatakan asas, maka ia adalah segala-galanya. Runtuhnya asas, maka runtuhlah binaan. Muda mudi masa kini lebih banyak terdedah pada keseronokan dunia. Ya, Islam tidak pernah sesekali menyarankan kita untuk meninggalkan kepentingan duniawi. Tetapi perlu diingat duniawi yang dianjurkan Islam dan duniawi yang dianjurkan oleh fahaman Israilliyat ini berbeza.

Perempuan. Golongan yang paling banyak terdedah dengan proses penaklukan akidah secara halus.. Kenapa? Kerana perempuan mempunyai nafsu yang lebih tinggi dan mudah pula dipengaruh. Apa buktinya? Buktinya apabila wujud dan berkembangnya golongan ini yang mempunyai fahaman agama, tetapi mempunyai keinginan yang tinggi terhadap kebendaan, kecantikan, kuasa, persamaan taraf, hiburan dan sebagainya. Bila disebut tentang perkahwinan, siapa yang paling teruja? Golongan ini... Tetapi keterujaan mereka kerana cinta dan keseronokan. Perkahwinan hari ini banyak dilangsungkan atas dasar cinta dan nafsu walaupun lafaznya mengikut apa yang terkalam dalam Al-Quran.

Apa natijahnya? Wujudlah institusi-institusi perkahwinan yang rapuh. Rapuh kerana kurangnya pemahaman tentang tanggungjawab. Yang lelaki terus menggayakan kehidupan bujang, yang perempuan menggayakan kehidupan anak-anak dara. Keras hatinya, besar kepalanya, egonya.. Semuanya tidak dilenturkan sebagaimana sepatutnya pasangan berkahwin lakukan. Istilah lelaki sebagai ketua keluarga juga tidak lagi digunapakai, diambil alih pemahaman gila yang dinamakan 'KESAMARATAAN'. Kaji lah di mana-mana surah sekalipun, bahagian mana konsep kesamarataan ini wujud dalam Al-Quran?* Konsep kesamarataan wujud hasil didikan Yahudi yang mahukan penyusunan rumahtangga yang dianjurkan Islam itu runtuh!

Hinakah perempuan apabila tidak dibenarkan menjadi ketua keluarga atau bertindak sebagai penentu arah tuju institusi kekeluargaan? Jatuhkah maruah perempuan apabila tidak disamaratakan dengan lelaki? Kalau anda mengatakan 'YA', maka anda sebenarnya tidak memahami konsep rumahtangga dalam Islam, keliru dengan konsep ini dan anda juga yang sebenarnya menjatuhkan maruah sendiri. Sedarkah anda bahawa Islam meletakkan kedudukan perempuan begitu tinggi? Malah sebenarnya kedudukan perempuan lebih tinggi kemuliaannya.** Kaji dari sudut agama, bukan dari sudut dunia. Muhammad S.A.W juga berwasiat dalam khutbah baginda yang terakhir sebelum wafat supaya golongan wanita ini dipelihara dan dijaga.

Bangga? Ya, anda boleh berbangga.. Tetapi dengan syarat, anda juga perlu hidup mengikut apa yang telah diaturkan dalam Al-Quran. Tidak selayaknya orang yang membelakangi suruhan Allah, menerima kedudukan yang tinggi seperti yang disebutkan dalam Al-Quran. Orang kita memang, mahukan berlian, tapi beri tahi.

Ini belum lagi saya sentuh tentang obses perempuan terhadap artis, bentuk perkahwinan mewah, harta, rupa, modelling, peragaan, nafsu dan sebagainya yang entah apa-apa. Tak terbaca agaknya nanti. Hakikatnya semua ini sebenarnya berpunca dari SATU perkara. Cuma satu - Rakusnya mereka untuk memenuhi keinginan dunia yang berlandaskan NAFSU atas tiket Islam menyuruh kita tidak mengabaikan dunia.. Orang lain kahwin, dia nak kahwin. Orang lain dapat suami soleh, dia nak suami soleh. Orang lain kahwin majlis grand, dia nak grand juga. Tapi tak faham pun perkahwinan itu apa sebenarnya. Ini kahwin jenis apa? Ohya, bab marriage ini akan saya sentuh di entry terkemudian nanti. Panjang sangat.

Lelaki. Golongan ini sepatutnya menjadi seorang pemikir. Golongan ini sepatutnya lebih banyak memanfaatkan suruhan Allah supaya berfikir tentang kejadian alam. Apakah kejadian alam? Kejadian Alam bukan setakat penciptaan alam, planet, udara, bulan, langit dan sebagainya. Tidak. Seluruh kehidupan kita ini adalah kejadian alam. Proses kehidupan adalah proses kejadian dan perjalanan alam. Bermakna perlulah bagi mereka untuk sentiasa berfikir tentang kehidupan, dalam erti kata lain, bermuhasabah. Apa hikmahnya? Hikmahnya ialah, apabila kita bermuhasabah, kita akan mengenal kesilapan. Muhasabah yang ikhlas akan membawa kepada keinsafan, memohom keampunan, pembersihan hati dan kembali kepada niat kerana Allah sebagai asas kehidupan. Maka akhirnya kehidupan menjadi teratur kembali.

Apa yang menjadi masalah ialah, kealpaan kita untuk bersendiri, bermuhasabah dan menyusun semula kehidupan. Keadaan dan pengaruh sekeliling membataskan jiwa dan hati. Kebanyakan lelaki masa ini cenderung untuk melepak, berpolitik, berhibur, keluar malam, seterusnya hilang masa terluang untuk Tuhan. Kerja-kerja dunia pula menuntut kita untuk meluangkan sebahagian besar masa kepadanya. Tetapi cuba fikirkan, anda hidup sebagai hamba Allah, atau sebagai hamba kerja dan manusia lain? Nyatanya, kebanyakan daripada kita sedang menjadi hamba kerja dan manusia tanpa sedar. Berapa ramai lelaki yang membaca ini sedang berfikir kembali apa yang saya coretkan? Tak ramai..

Jadi di mana letaknya penghormatan yang sepatutnya untuk lelaki sebagai ketua keluarga dan pemimpin? Kalau masa mudanya dihabiskan dengan melepak di tepi-tepi jalan, ber'pheewit-pheewit' perempuan yang lalu lalang. Jeliknya bertambah dengan perempuan-perempuan yang menggeletis keseronokan diperlakukan sebegitu.. Ah, betapa murahnya nilai kehidupan orang kita sekarang... Mereka yang sebeginikah yang didambakan untuk melahirkan zuriat pembela agama? Mengarut! Saya hairan juga bagaimana agaknya pemikiran mereka yang sebegini. Apakah modal masa depan yang boleh dibawa untuk anak isteri? Atau pandangan mereka, institusi rumahtangga itu sekadar bertujuan untuk melayan nafsu, memberi makan, minum, pakaian dan hiburan? Bagaimana dengan tanggungjawab beragama? Bagaimana pendidikan jati diri dan peribadi anak-anak? Lelaki, peribadi kotor tidak akan mendidik dengan bersih.

Readers, kita kerap kali melihat kehidupan seperti yang dianjurkan agama ini sebagai kurang sesuai, mundur, kolot. Kerana fikiran kita terlalu lama terpengaruh dengan budaya luar. Budaya yang semakin melupakan agama. Musuh-musuh Islam sedang giat melancarkan serangan terhadap akidah dan jati diri kita melalui pelbagai medium yang kita tidak jangka. Siapa pada masa ini yang melihat mereka yang duduk di rumah, kurang bersosial itu lebih mulia dari mereka yang kerap bersosial? Tidak ramai.. Siapa yang melihat mereka yang memakai baju kurung dan berjubah itu lebih mulia dari mereka yang fashionable, mengenakan pakaian yang entah apa-apa dan pakaian yang melekatttt pada badan? Tidak ramai. Ini tandanya pengaruh Israilliyat berjaya meracuni kita.

Biarlah kita hari ini dipanggil kuno, kolot dan ketinggalan dalam arus perjalanan dunia. Dunia yang dianjurkan Islam ialah pencarian rezeki yang halal, kehidupan yang selesa, kesihatan yang baik, kebahagiaan yang tercapai dan seterusnya pusingan kesempurnaan dunia itu akan terfokus kembali kepada tugas kita sebagai khalifah di muka bumi, beramal, bersedekah dan beribadat kepada Allah untuk akhirat. Di sini yang kita panggil keseimbangan. Fahami konsep keseimbangan dunia dan akhirat yang kita dengar selama ini. Kepentingan duniawi dalam Islam tidak bermaksud kita memenuhi nafsu keinginan kita terhadap aspek keduniaan. Jangan silap.

Saya tidak menulis kerana merasakan saya sempurna dalam pengaturan hidup. Saya juga manusia seperti anda. Salah dan silap sentiasa ada. Sentiasa juga saya tergelincir ditarik pengaruh-pengaruh luar yang semakin mencengkam. Iman dan kekuatan hati saya juga mungkin tidak sehebat anda di sana. Masa silam saya juga penuh dengan kejahilan dan kelemahan yang teramat ketara. Tetapi Alhamdulillah, Allah sentiasa memberi saya ruang dan peluang untuk berfikir, dan saya percaya anda juga punya peluang yang sama. Maka carilah pintu-pintu peluang itu... Atau sekiranya sudah diberi ingatan dan laluan, maka jangan pejamkan mata dan ditutup kembali pintu itu. Yang baik segalanya dari Allah, dan yang buruk dari diri kita sendiri.. Entry seterusnya menyusul, InsyaAllah..

Wassalam..

Notakaki:
--------------------------------------------------------------------------------
*Kesamarataan yang dimaksudkan adalah kesamarataan yang digerakkan oleh golongan Feminisme  di mana persamaan gender ini berasal dari ajaran persamaan (equality) dalam segala hal dalam masyarakat Barat yang berpunca dari ketidakpuasan hati mereka terhadap apa yang ditulis dalam Injil tentang hak perempuan yang jelas merendahkan golongan ini.
**Al-Quran telah menetapkan tugas yang seimbang bagi lelaki dan perempuan.Tugas ini diberikan sesuai dengan fitrah dan kemampuan masing-masing berdasarkan fitrah alami perempuan yang berbeza dengan kaum lelaki. Di sini konsep kesamarataan yang sebenar.

Maklumat dan bacaan lanjut untuk pencerahan konsep 'KESAMARATAAN DALAM ISLAM' boleh rujuk di SINI. Semoga tidak disalah tafsir.

Hye Facebookers!

Followers

Recent Comments

Powered by Disqus