Friday, October 23, 2009

NILAI SEBUAH KELUARGA

Share
Pengelibatan saya sebagai ketua jentera pilihanraya kampus tempoh hari memberikan saya satu peluang untuk mengenali seorang junior yang berasal Negeri Sembilan, dan kini menetap di Ipoh Perak. Pertama kali saya berjumpa dengannya adalah pada majlis berbuka puasa lebih kurang sebulan yang lepas. Melihat raut wajah dan cara makannya pada waktu itu jelas menunjukkan dia bukanlah seorang anak yang datangnya dari sebuah keluarga yang biasa.. Saya tidak pernah mengenalinya sebelum itu.. Dan jangkaan saya tepat.

Bapanya seorang Hakim Mahkamah Tinggi di sebuah negeri di utara tanah air. Awalnya pada jangkaan saya, dengan pendapatan sebulan bapanya yang hampir bersamaan dengan jumlah keseluruhan pinjaman PTPTN kami (mengikut dakwaan rakannya yang boleh dipercayai), tentu kehidupannya sebagai anak perempuan bongsu dalam keluarga dilimpahi kemewahan. Saya menjangkakan kehidupan di rumahnya cukup serba serbi sebagaimana kehidupan mewah anak-anak orang kenamaan lain.

Namun dua sesi perbualan saya dengannya dalam masa dua minggu cukup memeranjatkan. Betapa hebat didikan seorang ayah terhadap keluarga dan anak-anaknya.. Hampir semua jangkaan saya terhadap junior saya ini meleset.. Kekayaan yang dinikmati tidak sepenuhnya diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Adakah anda menjangkakan keluarga semewah ini tiada walau seorang pembantu rumah? Malah junior saya ini yang membantu ibunya memasak.. Adakah anda menjangkakan dengan melihat keadaan sekeliling, di mana rumah-rumah yang buruk dan usang sekalipun menggunakan ASTRO, tetapi keluarga semewah ini tidak menggunakan perkhidmatan ini? Adakah anda menjangkakan anak dari keluarga mewah ini mengambil laluan untuk ke tingkatan 6 berbanding kolej-kolej swasta yang menjadi pilihan keluarga mewah lain? Dan adakah anda menjangkakan anak-anak yang hidup dalam kemewahan seperti ini tetap mengambil pinjaman PTPTN?

“Aini sendiri cakap dengan ayah, tak payah lah ambik ‘maid’.. Biar Aini yang tolong mama masak.. Dah besar pun, takkan lah tak boleh tolong..”

“Aini kesian tengok ayah.. Sedih sangat..”

“Aini bukan ada duit sangat abang.. Ayah yelah…”

Tiga dialog di atas malam semalam membuatkan saya terdetik.. Seorang anak yang hidup dalam keluarga mewah jarang sekali mempunyai rasa seperti itu dalam diri mereka kalau bukan kerana didikan seorang ayah dan ibu yang baik dan hebat. Dari penceritaan junior saya ini, jelas menunjukkan keluarga ini mengamalkan cara hidup yang cukup bersederhana, mesra dan penuh kasih sayang... Bukan tidak pernah bertemu dengan keluarga mewah sebelum ini, tetapi cara hidup anak ini cukup mengkagumkan.. Pakaiannya yang biasa dan tidak berjenama, cara petuturannya yang biasa dan pergaulannya yang biasa cukup menarik untuk diperhatikan. Malah cara penceritaannya tidak langsung tergambar kehidupan yang mewah dalam keluarganya.

Berbanding dengan anak-anak biasa yang sering bermewah-mewah walaupun keluarga mereka adalah keluarga yang sederhana. Anak-anak meminta duit dari ibu bapa untuk memenuhi tuntutan gaya terkini yang mahal dan membebankan… Baru berada di semester satu, tetapi sudah berkereta dan sebagainya yang semuanya dari hasil titik peluh dan penat lelah ibu bapa berkerja. Namun anak-anak seperti ini jarang sekali memikirkan betapa susah ibu dan bapa mereka mencari duit. Kehidupan junior saya ini cukup memberi saya kesedaran.. Betapa benar ayahanda Wazir pernah berkata.. “Anak yang hebat datangnya dari benih yang hebat!”

Hye Facebookers!

Followers

Recent Comments

Powered by Disqus